Kerinduan Seorang Isteri

Tinggal kenangan. InshaAllah ketemu di Jannah. Sehari selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia, isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mengenakan baju kurung kegemaran suaminya ketika menerima kunjungan tetamu di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru. Baju kurung kain kapas berwarna krim berbunga kecil itu paling disukai bekas mursyidul am PAS itu yang sering memuji corak yang dikatakannya sangat sesuai dengan isterinya. "Baju inilah yang abang paling suka saya pakai," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Sinar Harian yang diadakan pada Sabtu.