Kerinduan Seorang Isteri


Tinggal kenangan. InshaAllah ketemu di Jannah.

Sehari selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia, isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mengenakan baju kurung kegemaran suaminya ketika menerima kunjungan tetamu di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru.

Baju kurung kain kapas berwarna krim berbunga kecil itu paling disukai bekas mursyidul am PAS itu yang sering memuji corak yang dikatakannya sangat sesuai dengan isterinya.

"Baju inilah yang abang paling suka saya pakai," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Sinar Harian yang diadakan pada Sabtu.
"Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan bunga besar dan banyak, tetapi tidak pula pernah melarang atau menegur sehingga saya berkecil hati," kata Sabariah, 67.

Sabariah melangsungkan perkahwinan dengan Nik Aziz atas pilihan ibu bapa pada 1962. Beliau ketika itu berusia 14 tahun sementara suaminya 31. Mereka dianugerahkan 10 anak.

Bersyukur dikurniakan seorang suami yang baik dan penyayang, beliau mengakui pernah menyimpan baju pemberian rakan apabila ditegur bekas menteri besar Kelantan itu, walaupun baru beberapa kali dipakai.

"Ini kerana abang pernah menegur saya secara bergurau, 'Yah nampak tua pakai macam tu'. Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi," katanya yang melahirkan kerinduan terhadap suaminya selepas 53 tahun berkongsi hidup bersama.


Nik Aziz meningggal dunia Khamis lepas akibat kanser prostat yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu. Keadaan beliau mula merosot Disember lepas dan kerap berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

Menyifatkan Nik Aziz ‘insan istimewa yang tiada galang gantinya’, Sabariah berkata, apa yang terbaik untuk suaminya ialah yang terindah baginya, dan beliau menghormati kata-katanya termasuk hal yang mungkin dianggap remeh seperti dalam berpakaian.

"Itulah keutamaan bagi saya untuk menjadi isteri yang patuh kepada suami," katanya.

Sabariah berkata, tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di HUSM, Nik Aziz pernah berkata: "Nanti abang takda lepas ni, siapa nak jaga Yah?"

Sambil menggenggam tangan suami yang sangat dikaguminya itu, beliau menjawab "anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya," tetapi di dalam hatinya, perasaan sebak tidak terkata.

Mengenang Nik Aziz yang dalam keadaan sakit dan tidak bermaya masih bangun di sepertiga malam bagi mengerjakan solat sunat tahajjud, Sabariah berkata memang begitu amalan suaminya sejak dulu lagi.

"Malah tidak pernah diabaikannya atau mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat hingga jam 2 pagi (waktu menjadi menteri besar), bertahajjud tetap menjadi keutamaan,” katanya.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Direktori Amal Jariah