Tip Mengundi Yang Diredhai ALLAH SWT
Assalamualaikum wbt...
Undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah
berdasarkan kesan yang mungkin berlaku disebabkan undi yang diberikan. Jika ia
membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara, dan itulah tujuan individu
yang mengundi tersebut, maka undi itu mendapat pahala. Jika dia tahu undinya
itu boleh memberikan kesan yang buruk, tetapi dia terus mengundi juga, maka dia
mendapat dosa.
Allah SWT telah memerintahkan kita memberikan amanah kepada
yang layak. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Di sini diringkaskan panduan penting bagi seseorang pengundi muslim juga mungkin boleh
dimanfaatkan oleh non-muslim dalam konteks negara kita ini;
1. Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu
pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih
seseorang calon adalah dengan pengetahuan tentang latar belakang calon
berkenaan.
Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan kita agar
bertindak atas ilmu, bukan kejahilan. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan
serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah
al-Isra: 36).
2. Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari
pelbagai sumber dan memilih yang terbaik.
Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran
matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab. Antara ciri
mereka, seperti yang Allah firmankan: (maksudnya)
“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).
3. Seseorang muslim hendaklah memilih calon yang paling
layak di sudut al-quwwah (kemampuan) dan al-amanah (amanah/ketelusan).
Firman Allah maksudnya :
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk
bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).
4. Jika kesemua calon mempunyai ciri-ciri kelayakan, maka
kita hendaklah memilih calon yang paling berkesan untuk jawatan tersebut. Ini
boleh dilihat kepada pelbagai faktor, seperti program dan manifesto partinya,
kekuatan akar umbinya, ciri-ciri keistimewaan yang lain; seperti pengalaman,
latar pendidikan, dan sebagainya. Inilah sikap Ulul Albab yang diajar oleh
al-Quran, sentiasa memilih yang terbaik.
5. Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri
yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah
memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan
umat dibandingkan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak “Mudarat yang lebih
besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan”, atau “Memilih bahaya yang
paling ringan”.
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum)
berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan
dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang
Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan
menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya
dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan
(ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada
pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…” (Surah al-Baqarah:
217).
Ayat ini jelas memberitahu bahawa dosa-dosa itu walaupun
besar, namun nilainya tidak sama. Ertinya, apabila bertembung kita memilih atau
menentukan yang paling kurang bahaya atau mudaratnya supaya tindakan kita dapat
meminimakan bahaya.
6. Menilai rekod, matlamat, manifesto dan juga apa yang
tersurat dan tersirat di sebalik parti yang disertai oleh seseorang calon.
Justeru, jika kita gagal mengetahui tentang latar calon,
kita boleh menilai parti yang disertainya. Jika rekod parti itu buruk, maka
kita hendaklah berpegang kepada ingatan Nabi s.a.w:
7. Jika semua calon gagal diketahui latarbelakang mereka,
dan tiada pula rekod yang buruk bagi parti mereka, hendaklah dibuat diteliti
matlamat dan manifesto yang ditawarkan. Hendaklah dibandingkan mana yang lebih
telus dan bermanfaat untuk rakyat dan negara. Inilah konsep Ulul Albab.
8. Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang
buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita
mendahului peribadi calon. Ini kerana Allah dan rasulNya memerintahkan kita
memberikan amanah kepada sesiapa yang layak sehingga Nabi s.a.w sendiri
memberikan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah. KECUALI jika kita dapati pengaruh
buruk parti itu lebih menguasai jawatan tersebut dibanding kebaikan yang ada
pada peribadi calon, maka ketika itu calon yang kelihatan baik itu tidak diundi
kerana dilihat tidak berkemampuan. Ini balik kepada ciri-ciri al-Quwwah dan
al-Amanah yang disebutkan sebelum ini.
Disunting dari Minda Tajdid
Ulasan
Catat Ulasan